Friday, May 8, 2009

Melayu boleh


Wanita Melayu berusia 27 tahun merupakan doktor pakar paru-paru yang sedang mencipta nama di Dublin.

BERBICARA dengan wanita ini menerusi ruang maya memang mengasyikkan. Ayat-ayat dalam e-mel balasannya disusun cantik. Dr. Tidi Maharani Hassan, 27, juga sentiasa merendah diri walaupun pencapaiannya sebagai doktor pakar paru-paru termuda di Ireland dianggap luar biasa.

Malah wanita kelahiran Kuala Lumpur ini merupakan bekas pelajar paling muda yang mengikuti jurusan perubatan di Royal College Surgeons, Ireland iaitu ketika berusia 17 tahun.+/- Read More

Bukan mudah untuk menjadi seorang doktor pakar dalam usia yang muda, apatah lagi dalam bidang penyakit berkaitan paru-paru.

Namun Tidi menganggap ‘pencapaiannya masih kecil’. “Saya masih berusaha memberikan yang terbaik kepada pesakit saya tidak kira siapa atau dari mana mereka datang,” ujar beliau yang kini bertugas sambil belajar di Hospital Beaumont di Dublin.

Tidi mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah di dalam dan luar negara. Antaranya ialah British International School di Jakarta. Di situlah beliau mengambil peperiksaan International Baccaleurate (IB) hingga melayakkannya mengikuti kursus perubatan di Royal College of Surgeon, Ireland.

“Keinginan menjadi pakar perubatan bermula ketika saya berada di tingkatan dua selepas saya melihat para doktor di Hospital Tawakal Kuala Lumpur merawat datuk saya, Abd. Samad Sirat yang diserang sakit jantung.

“Setiap kali melihat mereka merawat datuk dengan bersungguh-sungguh, saya nekad untuk menjadi pakar jantung,” jelas Tidi yang fasih berbahasa Perancis. Tidi juga sedang berusaha menguasai bahasa Sepanyol.

Baginya, selain daripada meluaskan radius komunikasinya, penguasaan bahasa tersebut juga penting dalam pengajiannya.

Menyingkap perjalanannya sebelum bergelar pakar paru-paru, Tidi memulakan kursus perubatan di Royal College of Surgeon di Dublin selepas mendapat tajaan Mara di bawah Skim Pelajar Cemerlang (SPC). Tidi merupakan pelajar pertama yang dianugerahkan SPC.

Malah, pencapaian cemerlang membolehkan beliau bertugas sementara di salah sebuah hospital ternama di dunia iaitu Hospital John Hopkins di Amerika Syarikat.

“Secara peribadi, saya anggap perjalanan saya untuk sampai ke tahap ini sangat berliku dan mencabar.

“Bukan hanya untuk mendapatkan tempat dan lulus dengan cemerlang dalam setiap peperiksaan malah bagaimana saya menyesuaikan diri di negara orang dalam usia yang begitu muda,” kata anak pertama daripada dua beradik ini.

Tinggal di tandas

Katanya, meskipun biasa tinggal di luar negara kerana mengikuti ayah dan ibunya, namun segalanya cukup berlainan apabila dia berseorangan di luar negara.

“Saya manja sedikit terutama dengan emak. Jadi apabila terpaksa melanjutkan pelajaran di Dublin, memang saya terasa sangat,” luahnya.

Tidak membiarkan dirinya dibuai emosi, kekuatan dalaman serta kecemerlangan Tidi terserlah apabila dia berjaya memperoleh pengiktirafan dua keahlian dalam bidang perubatan secara serentak iaitu Membership of the Royal College of Physicians United Kingdom dan Ireland.

“Ini sekali gus melayakkan saya menyandang jawatan Specialist Registar (SpR) dalam bidang sistem pernafasan yang mengkhusus pada paru-paru.

“Sebenarnya di Ireland, bilangan doktor yang menjawat jawatan ini sangat terhad,” jelas Tidi yang menganggap paru-paru antara organ terpenting manusia tetapi sering menjadi punca kematian selain jantung.

Tidi percaya, tanpa kesedaran yang tinggi terhadap penyakit berkaitan paru-paru, tidak mustahil ia akan menjadi penyakit kronik No. 1 di dunia tidak lama lagi.

Antara pengalaman yang tidak mungkin dilupakannya adalah saat-saat merawat seorang pesakit kanser yang berumur 21 tahun di Ireland. Kematian pesakit tersebut cukup memberi kesan dalam hatinya. Ketika itu Tidi menyedari betapa kecil, lemah dan daifnya ilmu seorang manusia.

Bercerita lanjut mengenai kehidupannya di Dublin, rakan sebilik dan sekuliah menjadi sumber kekuatannya untuk terus bertahan di sana selama lima tahun lagi sebelum menamatkan pengajiannya.

Pernah terguris gara-gara ‘ditinggalkan’ oleh rakan senegara dalam program sambutan Hari Raya Aidiladha yang dianjurkan mereka, Tidi tidak lagi mengharap ehsan orang.

“Serik dan sedih yang sangat. Insiden itu mengajar saya agar kuat semangat dan tidak bergantung kepada sesiapa.

“Namun itu tidak bermakna saya memilih kawan,” akuinya yang mempunyai lebih ramai rakan dari negara asing berbanding anak Malaysia.

Malah, pengalaman tinggal menyewa di sebuah bilik kecil yang asalnya sebuah tandas ketika tahun pertama tiba di Dublin tidak dapat dilupakannya hingga kini.

Yakin pengalaman mampu membuatnya lebih matang, nyata kesabarannya terbalas.

“Kini, selain bertugas di hospital, saya juga perlu mengajar, mengikuti kursus serta membentangkan kertas kerja. Memang memenatkan namun ia cukup berbaloi,” balasnya dalam nada puas.



post signature

No comments: